"Bahasa Jiwa Bangsa dengan jelas menunjukkan kepentingsn bahasa dalam memupuk perpaduan antara kaum. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bermula 1970, peranan bahasa Melayu telah secara berperingkat-peringkat menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara di sekolah-sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka [ DBP ] adalah sebuah badan berkanun bertanggungjawab dalam usaha memaju dan memperkayakan bahasa Melayu.
Pemilihan satu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia timbul sebab perlunya diadakan satu lambang penyatuan, iaitu dengan harapan bahawa bahasa itu dapat menjadi dasar bagi satu identifikasi kebangsaan. Peranan bahasa sebagai faktor penyatuan disalurkan melalui sistem pelajaran kebangsaan, sebagaimana tercatat dalam mukadimah Akta Pendidikan seperti berikut;
".........dan untuk merancangkan satu sistem pelajaran iaitu bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantara yang utama."
Di samping memenuhi keperluan menjadi lambang penyatuan, penubuhan satu bahasa kebangsaan juga timbul daripada semangat kebangsaan yang mahukan bahasa penjajah diambil alih oleh bahasa bumiputera. Dasar bahasa kebangsaan asas terpenting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Dasar ini memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, barulah dilakukan tahap-tahap seterusnya, iaitu propaganda, pembinaan dan perluasan penggunaannya.
Dasar bahasa di Malaysia meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dasar bahasa ini dianggap bermula dengan idealisme, iaitu untuk menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu menerusi pembentukkan budaya kebangsaan selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada negara, memupuk ciri-ciri pengenalan rakyat yang relatif seragam, menegak persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini dan menobatkan bahasa Melayu sebagai sarana komunikasi yang berkesan dalam sektor-sektor penting negara.
No comments:
Post a Comment